PANTAI JEREJAK – Peruntukan RM100,000 menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI dah bagi bantuan besaq untuk naik taraf kemudahan infrastruktur dan keselesaan warga Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Baru.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin cakap, duit tu disalur terus kat pihak sekolah supaya depa sendiri boleh tentukan keperluan dan buat projek ikut keutamaan. Beliau habaq macam ni masa buat lawatan pi SK Bayan Baru tengok sendiri projek-projek yang dah dan sedang dijalankan.

"Peruntukan ini disalurkan terus kepada pihak sekolah dan saya memberikan kepercayaan kepada mereka untuk menentukan keperluan yang perlu diberi keutamaan dalam pemilihan projek," kata Sim Tze Tzin.

Antara projek yang dah buat termasuk pasang penghawa dingin kat empat kelas pendidikan khas, pasang kipas besaq kat dewan sekolah, lagi satu kerja-kerja baiki infrastruktur macam bumbung ngan bilik guru. Projek transformasi ni sekali meliputi gotong-royong, naik taraf dan pemerkasaan infrastruktur digital, keselamatan serta keselesaan persekitaran sekolah.

Tze Tzin, yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, kata kemudahan pendingin hawa kat kelas pendidikan khas tu penting bagi sediakan suasana belajar yang lebih selesa untuk murid berkeperluan khas. Beliau habaq lagi, peruntukan untuk sekolah-sekolah kat kawasan Parlimen Bayan Baru dah tunjuk perubahan ketara dari segi kemudahan fizikal sejak dilaksanakan secara berperingkat beberapa tahun lepas, termasuk SK Seri Permai, SMK Raja Tun Uda, SK Minden Heights, SK Sungai Nibong, SK Batu Maung, SMK Sungai Nibong, SMK Batu Maung dan SK Mutiara Perdana.