GEORGE TOWN – Tiga individu yang disyaki anggota kumpulan kongsi gelap mengaku tidak bersalah bila dihadapkan di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ni atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kat dua lelaki lain guna parang, Ogos lalu.

Tertuduh K. Arul Kevin, 20; V. Vishnu, 24; dan P. Kuhan, 22, buat pengakuan tu lepas pertuduhan dibacakan serentak di hadapan Hakim Juraidah Abbas dan Hakim Irwan Suainbon. Di Mahkamah Sesyen 1, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Saw Jing Bing, 25, dengan parang di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kong Ming Cawangan Kedua, Pulau Pinang, lebih kurang pukul 2.45 pagi pada 25 Ogos lalu. Manakala di Mahkamah Sesyen 2, mereka didakwa buat kesalahan sama pada masa dan tempat yang sama terhadap mangsa kedua, Stanley Lim Xiao Tian, 17.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen dan M. Darrshini, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam K. Mahendran.

Peguam Mahendran minta jumlah jaminan dikurangkan sebab anak guamnya menyerah diri kat polis selepas dihubungi, bukan ditangkap, lagi pun berpendapatan rendah antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan sebagai pemandu e-hailing, juruelektrik dan pemandu lori yang kena tanggung keluarga masing-masing. Kedua-dua mahkamah lepas tu benarkan jaminan RM12,000 dan RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, menjadikan jumlah keseluruhan RM22,000 bagi setiap tertuduh.

Tertuduh dikenakan syarat lapor diri di balai polis berhampiran tiap 1 haribulan sehingga kes selesai, dan dilarang ganggu atau hampiri saksi pendakwaan, terutama mangsa. Kes ditetapkan untuk sebutan semula di kedua-dua mahkamah pada 6 November depan.