Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu pasai pakej umrah persendirian, sehingga mangsa mengalami kerugian RM35,736. Tertuduh, Syed Syafiq Syed Azhar, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jurujual kedai emas didakwa dengan curangnya memperdayakan pengadu dengan mengatakan dia boleh menyediakan dan menguruskan pakej umrah persendirian, merangkumi penerbangan pergi balik serta penginapan di Mekah dan Madinah. Representasi itu didakwa palsu, dan pengadu menyerahkan wang RM35,736 melalui akaun Bank Islam atas nama syarikat Fique Legacy yang didaftarkan atas nama tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah alamat di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, sekitar Februari 2025, dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Difahamkan tertuduh menjalankan perkhidmatan pakej umrah persendirian tanpa lesen sah daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan tidak mempunyai lesen Pengelola Jemaah Haji daripada Lembaga Tabung Haji.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, tetapi peguam tertuduh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon supaya jumlah itu dikurangkan sebab anak guamnya seorang duda yang ada seorang anak. Mahkamah menetapkan jaminan RM7,500 dengan seorang penjamin, dan kes disebut semula pada 19 November depan.