Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya tumpaskan aktiviti seludup rokok dan minuman keras bernilai RM2.17 juta dalam tiga kes berasingan sepanjang bulan lepas.

Pengarahnya, Hasbollah Din, habaq kes pertama berlaku pada 7 Ogos di kawasan parkir sebuah kondominium di Jelutong. Pemeriksaan ke atas lima buah kenderaan jumpa 339,640 batang rokok disorok dalam kenderaan tu. Seorang lelaki lingkungan 70-an ditahan bagi bantu siasatan, dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggar RM590,959.

Kes kedua pula serbuan ke atas sebuah rumah di Nibong Tebal pada 14 Ogos. Kastam rampas 115,340 batang rokok dan 635.52 liter minuman keras bernilai RM147,567.56. Siasatan dapati barang tak berkastam tu disimpan dalam rumah tak berpenghuni sebelum diedar ke pasaran tempatan.

Lagi satu kes, serbuan pada 17 Ogos ke atas rumah teres tak berpenghuni di Bukit Mertajam, tempat kastam jumpa 1,337,520 batang rokok bernilai kira-kira RM1,434,502.08 termasuk duti dan cukai.

“Ketiga-tiga kes kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(v),” kata Hasbollah.