Perlis mempunyai potensi untuk diketengahkan bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai negeri yang menawarkan naratif, identiti dan warisan tersendiri bagi memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pengunjung.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kekuatan Perlis dalam aspek sejarah, budaya, alam semula jadi dan identiti tempatan ialah aset yang boleh diperkasa untuk membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam serta keunikan negeri. Penyelidikan dalam bidang pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya juga perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Pelancongan Islam memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, universiti, pemain sektor dan komuniti setempat.”

Titah itu disampaikan selaku Tuanku Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) ketika berkenan menyempurnakan Persidangan Pelancongan, Warisan, Penyelidikan dan Kesedaran Islam Antarabangsa (UniTHRA 2026) di Dewan Sivik, Arau.

Persidangan anjuran UniSIRAJ tu menghimpunkan pakar akademik, pemain industri dan tokoh agama dari dalam serta luar negara, bertemakan “Memperkasakan Pelancongan Islam Demi Pembangunan Mampan”. Ia jadi platform antarabangsa untuk bincang peranan warisan dan penyelidikan dalam memperkasa industri pelancongan Islam secara mampan.