Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam petang tadi. Ratusan ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga dan orang ramai mai memenuhi kawasan tu untuk tengok pengebumian Allahyarham Idrus Ibrahim, 83, abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman. Lepas tu jenazah dibawa ke tanah perkuburan kira-kira pukul 2.10 petang. Bacaan talkin disempurnakan oleh Imam 1 Masjid Jamek Cheruk Tok Kun Bawah, Ustaz Tengku Zahari Tengku Baharom, dan urusan pengebumian selesai kira-kira pukul 2.50 petang.

Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kelihatan sugul, namun masih sempat menyapa hadirin dan sama-sama bantu uruskan jenazah abangnya.

“Terima kasih kepada semua yang hadir.” kata Anwar.

Semalam, Anwar habaq berita duka tu menerusi hantaran di Facebook ketika dalam perjalanan pulang selepas lawatan kerja tiga hari ke China. Allahyarham ialah anak kedua daripada lapan beradik. Anak Allahyarham, Aida Rafizah Idrus, 54, bagi tau bapanya meninggal dunia ketika tidur, dipercayai sebab sakit tua.