Seorang lelaki warga China didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau hari ni, lepas mengaku bersalah cuba mencuri dompet di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Tertuduh, Chen Bangjun, 55, seorang pesara, membuat pengakuan tu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting. Dia didakwa cuba mencuri sebuah dompet dari dalam beg galas milik seorang lelaki antara pukul 9.25 pagi hingga 10 pagi di LTAPP, Bayan Lepas pada 17 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511. Kalau sabit kesalahan, Seksyen 379 memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam tertuduh, Teh Yi Kai, mohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya dah bersara, berkeluarga dan insaf selepas direman sejak 17 September. Beliau tambah, kejadian tu tak sebabkan mangsa rugi sebab setakat percubaan ja. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sofi Jaafar pula mohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah tetapkan denda RM3,000, atau tertuduh kena penjara tiga bulan kalau gagal bayar.