Penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sektor perkhidmatan bukan ancaman kepada penjawat awam, sebaliknya boleh jadi pengganda keupayaan untuk permudah birokrasi dan tingkatkan produktiviti pentadbiran. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Jafri Abdul Jalil berkata demikian dalam Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam @ Pulau Pinang 2026 di Bertam pada 23 September lalu.

"AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada penjawat awam, sebaliknya sebagai pengganda keupayaan." kata Dato' Dr. Jafri Abdul Jalil.

Beliau berkata, tugasan berulang boleh diautomasikan supaya penjawat awam dapat beri tumpuan kepada penyelesaian masalah, dengan syarat ada akauntabiliti, keselamatan, privasi dan pengawasan manusia yang ketat. AI juga mesti digunakan untuk selesaikan masalah betui-betui rakyat, bukan sekadar tukar borang fizikal kepada digital tanpa ubah proses kerja yang rumit. Ukuran kejayaan pula ialah masa yang dapat dijimatkan dan masalah rakyat yang selesai, bukan bilangan sistem yang dibangunkan.

Konvensyen julung kali dianjurkan Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) ni sepadukan dua agenda utama negeri, iaitu Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) dan AI. Setakat ni, 29 projek RKB dah dilaksanakan dengan penjimatan kos RM2.4 bilion di bawah Visi Penang2030.

Dalam pertandingan projek AI-RKB terbaik yang libatkan 19 kumpulan daripada 13 agensi, kumpulan Speedy Squad 1 daripada Unit OSC Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) jadi johan. Naib johan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang lewat projek 'AI Photo Booth', manakala tempat ketiga dimenangi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan sistem penderiaan jauh satelit untuk pantau kesihatan pokok bandar. Hampir 450 peserta hadir, termasuk wakil dari Kedah, Perak dan Perlis.