Seorang tukang masak restoran makanan Jepun mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen George Town hari ni atas empat pertuduhan pecah amanah wang tunai berjumlah RM19,361, antara Februari hingga Julai lalu.

Tertuduh, Ong Kah Meng, 45, buat pengakuan tu lepas kesemua pertuduhan dibacakan di depan dua hakim berasingan. Di Mahkamah Sesyen 2, dia didakwa pecah amanah jenayah terhadap wang tunai RM9,603 yang diamanahkan kepadanya di Restoran Wako Sushi Omakase, Gat Lebuh Acheh, pukul 3 petang, 24 Julai lalu. Kesalahan tu boleh dihukum mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, dengan penjara sehingga 10 tahun, selain sebatan dan denda.

Di Mahkamah Sesyen 1 pula, dia berdepan tiga lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan wang tunai RM9,758 di restoran yang sama, iaitu RM1,601, RM7,057 dan RM1,100. Kesalahan tu didakwa dilakukan pada 12 Februari, 4 Julai dan 23 Julai lalu.

Di Mahkamah Sesyen 2, Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh yang tak diwakili peguam mohon jumlah tu dikurangkan sebab ada tanggungan ibu bapa. Hakim Irwan Suainbon tetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dan benarkan syarat tambahan supaya tertuduh serah pasport kepada mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen 1, Hakim Juraidah Abbas tetapkan jaminan RM15,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, atas tawaran Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen. Tertuduh sama-sama kena serah pasport dan mesti lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Kesemua kes ditetapkan sebutan semula pada 27 Oktober depan bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen.