SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) genap 50 tahun penubuhannya sebagai pihak berkuasa tempatan tahun ni, dan MBSP bakal angkat sambutan Jubli Emas dengan pelbagai program yang gabungkan elemen kesihatan, sukan, kebudayaan, komuniti serta inovasi.
Sambutan Hari Bandaraya MBSP dan Penubuhan MBSP sebagai PBT ke-50 tahun (1976-2026) tu akan berlangsung pada 17 Oktober 2026 di Ibu Pejabat MBSP, Bandar Perda.
Datuk Bandar MBSP, Dato' Baderul Amin Abdul Hamid habaq, sambutan ni bukan sekadar raikan perjalanan lima dekad MBSP ja, tapi jadi wadah untuk hargai penglibatan warga kerja serta komuniti yang bentukkan Seberang Perai yang lebih dinamik dan sejahtera. Antara pengisian utama ialah Fun Walk sejauh tiga kilometer, pertandingan pakaian tradisional serta Karnival Sukan Rakyat yang ketengahkan permainan tradisional macam tarik tali, baling tin, isi air dalam botol, bawa bola guna sudu dan lari dalam guni. Turut dianjurkan ialah Kenduri Rakyat menerusi konsep 'Jom Makan Bersama MBSP', yang himpunkan warga MBSP dan komuniti untuk makan tengah hari dalam suasana santai.
"Program-program ini diadakan bagi menyemarakkan semangat kesukanan, menggalakkan gaya hidup sihat selain memperkukuh nilai kebersamaan dalam kalangan warga MBSP dan masyarakat," kata Baderul Amin.
Selain raikan sejarah dan pencapaian lima dekad tu, Baderul Amin bagi tau sambutan ni turut bagi ruang kepada pelbagai jabatan MBSP untuk tunjuk pencapaian serta inovasi dalam aspek teknologi, pengurusan sisa, perkhidmatan digital dan program komuniti. Lagi satu, Bukit Mertajam Festival 2026 pun akan dianjurkan pada 17 dan 18 Oktober di Jalan Stesen, Pekan Bukit Mertajam, dari jam 5 petang hingga 11 malam.
Festival buat julung kalinya tu ketengahkan elemen kesenian, kebudayaan dan warisan menerusi persembahan seni jalanan, sekali gus jadi usaha MBSP hidupkan suasana Pekan Bukit Mertajam melalui aktiviti seni dan budaya. Penganjuran tu pun berperanan sebagai platform untuk pacu ekonomi masyarakat tempatan menerusi penglibatan penggiat seni, peniaga dan komuniti setempat, selain promosikan Bukit Mertajam sebagai destinasi seni, budaya dan warisan.