BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya lupus sebanyak 58,941 unit barangan berjenama tiruan bernilai hampir RM3.15 juta yang dirampas sepanjang sembilan bulan pertama tahun ni.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan habaq, kesemua barang rampasan tu disita atas pelbagai kesalahan termasuk di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Cap Dagangan 2019 serta Akta Perlindungan Pengguna 1999. Antara barang tu termasuk pelbagai jenama pakaian, beg dan aksesori wanita, alat gantian kenderaan, aksesori motosikal, alatan jentera, produk makanan, produk penjagaan kesihatan serta peranti elektronik.
"Kesemua barangan ini juga telah selesai melalui proses pendakwaan dan pengkompaunan sepanjang tempoh berkenaan iaitu antara 1 Januari sehingga 29 September (hari ini)," kata Jegan.
Beliau ditemui pemberita pada Program Pelupusan Barang Rampasan KPDN Pulau Pinang di Kompleks Penyimpanan Ekshibit KPDN di Jalan Bukit Minyak. Jegan tambah, secara keseluruhan, 58,805 premis diperiksa sepanjang tahun ni dengan 761 daripadanya kena tindakan, melibatkan nilai rampasan RM4,847,055.33. Sepanjang tempoh tu jugak, RM591,100 nilai kompaun dikeluarkan melibatkan 565 kes, manakala 12 kes pula kena tindakan pendakwaan di mahkamah dengan jumlah denda RM94,500.
Jegan habaq, KPDN Pulau Pinang takkan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati buat kesalahan, khususnya yang melibatkan penyelewengan barang kawalan, perdagangan barang tiruan, ketidakpatuhan harga serta apa-apa kesalahan lain yang boleh jejaskan kepentingan pengguna.