Tanah lapang di Jalan Kelisa Emas 4, Taman Kelisa, Seberang Jaya bakal dinaik taraf jadi Taman Madani bernilai RM500,000, lengkap dengan gelanggang sepak takraw dan pickle ball. Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H'ng Mooi Lye bagi tau projek tu dibuat bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada sidang media semalam.

Kawasan seluas lebih kurang 3,723.10 meter persegi tu meliputi Lot 3777 dan Lot 3937 di bawah Parlimen Permatang Pauh dan DUN Seberang Jaya. Ni Taman Madani ketiga dalam kawasan pentadbiran MBSP. Jarak dari kawasan rumah berhampiran cuma 400 hingga 500 meter, lima sampai 10 minit jalan kaki ja.

Selain gimnasium luar dan bangku taman yang dah ada, tempat ni bakal dapat laluan pejalan kaki, alat permainan, alat senaman, lampu solar, papan tanda dan pintu masuk utama. Penghadang motosikal pun dibuat ikut prinsip Universal Design supaya senang diguna semua orang, termasuk warga emas dan kanak-kanak.

Projek ni ambik masa 20 minggu untuk siap, dengan tempoh tanggungan kecacatan enam bulan. Mooi Lye cakap beliau harap penduduk sekali jaga kebersihan dan kemudahan yang disediakan.

Dalam pada tu, beliau bagi tau pihak berkuasa tempatan masih pantau Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan buang sampah kecil. Kes pertama di bahagian pulau kena lapan jam khidmat masyarakat, dua jam setiap Ahad mulai 26 September 2026, manakala enam kes di bawah MBSP dah dihantar ke mahkamah untuk saman.