GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya tahan lima oghang termasuk sepasang kekasih, lepas rampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM3.5 juta dalam tiga operasi berasingan di sekitar negeri ni minggu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, cakap dalam operasi pertama pada 21 September lepas, seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun ditahan di sekitar Jalan Masjid Negeri. Penahanan suspek ni bawa polis jumpa sebuah kenderaan yang ditinggal kat tempat parkir, disyaki jadi tempat simpan dadah serta alat untuk proses bahan terlarang tu.
"Dalam operasi itu juga, polis turut merampas heroin seberat 8.83 kilogram (kg), 5.35 kg serbuk kafein serta beberapa peralatan memproses heroin yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM443,518," kata Dennis Lim Kwang Keng.
Dalam operasi kedua pada 22 September lepas, dua lelaki tempatan bersama seorang wanita warga asing berusia antara 27 hingga 42 tahun ditahan susulan dua serbuan berasingan di sekitar Jalan Tun Dr. Awang dan Sungai Nibong Kecil. Polis rampas 3.26 kg serbuk MDMA serta lima liter cecair MDMA dianggar bernilai RM1.2 juta, yang disyaki diperoleh dari satu sindiket untuk dibungkus semula.
Operasi ketiga pada 27 September lepas pulak tahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di sekitar Jalan Seladang, Bukit Mertajam. Hasil penahanan tu, polis jumpa anggar 11.8 kg serbuk MDMA, 182 biji pil ekstasi dan Erimin 5 serta 70 gram serbuk ketamin bernilai RM1.8 juta. Dennis habaq, kesemua kes disiasat ikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek direman untuk tempoh tertentu bermula 22 September bagi bantu siasatan lanjut.