Kalau cakap pasai memancing kat Sungai Kedah, Alor Setar, mesti oghang ingat ikan toman dulu. Tapi ada satu lagi spesies yang jarang dapat perhatian kaki pancing kat sungai tu — ikan kaloi.

Ikan kaloi atau giant gourami ni banyak mendiami spot tersembunyi dalam sungai-sungai besaq kat sebelah utara. Depa suka duduk kat kawasan ada tumbuhan akuatik dan struktur macam kayu, lagi-lagi tepi sungai yang ada pokok buah-buahan. Umpan paling power untuk pikat kaloi ni ialah buah lakum, atau nama glamornya 'anggur Malaysia' — buah hutan yang menjalar tepi sungai, sekali gus jadi makanan utama sesetengah burung tempatan.

"Sekiranya saya ingin memancing kaloi, buah lakum perlu ada bagi meningkatkan potensi mendaratkan ikan ini," kata Rospaizal Ismail.

Pemancing mahir DevilCraft Fishing, Rospaizal Ismail atau lebih mesra dipanggil Faiz Panjang habaq, kaloi ni lebih suka makan buah atau daun, jadi umpan lakum memang paling padan untuk spot Sungai Kedah. Dia guna kayak supaya senang menerjah lubuk-lubuk sempit, dan kalau lepas satu minit umpan tak kena sambar, dia akan tukar spot lain. Bunyi 'letupan' buah lakum jatuh atas air tu yang penting sebab ia yang panggil kaloi mai ambik umpan.

Musim paling sesuai nak buru kaloi kat Sungai Kedah pulak ikut jadual tanaman padi, bukan ikut bulan macam tempat lain. Bila padi dah umur dua bulan ke atas, kerja sawah pun kurang, air sungai jadi lagi jernih dan kaloi lagi aktif menyambar umpan. Rekod peribadi Faiz Panjang buat masa ni ialah seekor kaloi seberat 4.4 kilogram, didaratkan guna teknik pelampung dengan setup ringan.