Penyelidik kat Amerika Syarikat berjaya guna teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk reka bentuk virus baharu yang berfungsi sepenuhnya dan mampu membiak dalam makmal. Ni catat sejarah sebagai kali pertama satu genom virus lengkap berjaya direka guna AI, lapor BBC.

Ikut kajian yang terbit dalam jurnal Science, sebanyak 16 virus baharu berjaya dihasilkan dan didapati berkesan jangkiti bakteria, tapi tak bagi ancaman kat manusia. Pakar sifatkan pencapaian ni sebagai satu titik perubahan penting dalam bidang biologi sintetik sebab ada potensi buka jalan kat rawatan baharu untuk penyakit, terutama jangkitan bakteria yang dah kebal kat antibiotik.

"Ini merupakan tahap baharu dalam keupayaan AI generatif. Sebelum ini, teknologi seperti ChatGPT digunakan untuk meramal urutan perkataan, namun dalam kajian ini AI meramal 'bahasa kehidupan', iaitu kod genetik," kata Penolong Profesor Universiti Stanford, Brian Hie.

Model AI dipanggil Evo1 dan Evo2 dilatih guna jutaan kod genetik daripada virus, bakteria, tumbuhan dan manusia sebelum diperhalusi untuk hasilkan bakteriofaj — virus yang cuma jangkiti spesies bakteria tertentu ja. Daripada 302 reka bentuk virus yang AI hasilkan untuk disintesis kat makmal, 16 daripadanya berjaya bunuh bakteria E. coli.

Walaupun pencapaian ni menggembirakan pasukan penyelidik Stanford, ada jugak pakar yang bagi amaran pasai risiko keselamatan biologi. Dr Thomas Inglesby dan Dr Moritz Hanke dari Pusat Keselamatan Kesihatan Johns Hopkins habaq, persoalan sekarang bukan lagi sama ada AI boleh reka genom virus, tapi macam mana nak pastikan teknologi tu tak disalahguna sampai bagi mudarat kat manusia. Sebab tu, pasukan Stanford kata depa cuma guna virus yang jangkiti bakteria dalam pangkalan data latihan AI, dan semua ujikaji dibuat kat makmal berkeselamatan tinggi.