BAYAN LEPAS — Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mula buat kerja penyelenggaraan dan ganti tangki air di Taman Sahabat bernilai RM470,000, bermula 13 Oktober ni, untuk atasi masalah bekalan air kat kawasan tu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato' Azrul Mahathir Aziz, habaq projek yang dijangka siap dalam empat bulan ni nak selesaikan masalah tekanan air rendah dan kekurangan kemudahan simpan air yang kerap kacau penduduk kawasan tu.

"Saya menyeru semua penduduk supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak kontraktor sepanjang tempoh pelaksanaan projek, khususnya dalam pengurusan parkir kenderaan bagi memudahkan pergerakan jentera berat seperti kren untuk menjalankan kerja di tingkat empat blok kediaman," kata Azrul Mahathir.

Dia yang pegang sekali jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang habaq lagi, sejak tahun lepas PBAPP komited bagi sumbangan RM1 juta setahun untuk projek penyelenggaraan macam ni, dan RM470,000 daripada tu khas untuk kerja kat Taman Sahabat.

Lagi satu projek yang disebut Azrul Mahathir — ganti bumbung perumahan strata Taman Emas bernilai RM800,000 bawah peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), akan mula 15 Oktober ni. PBAPP pun ada peruntukkan RM500,000 untuk bina tangki tambahan dan pasang pam penggalak tekanan air berhampiran lampu isyarat Sungai Batu, khusus untuk kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan.