GEORGETOWN – Seorang pekerja kedai makan berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap seorang remaja perempuan dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini minggu lepas.

Tertuduh, Chuah Cheng Seng, 71, yang juga pesakit kencing manis, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 18 tahun dalam tandas lelaki di tingkat dua pusat beli-belah tu, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 Oktober lepas. Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, dan sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa, pada masa dan lokasi yang sama. Pertuduhan ini dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen, manakala tertuduh diwakili peguam K. Mahendran. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan oleh seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 16 November ini sebagai tarikh serah dokumen.