BUKIT TENGAH – Komponen kedua Projek Fasa 2 Pelebaran dan Naik Taraf Jalan dari satu lorong ke dua lorong, dari Jalan Perusahaan sampai ke Persimpangan Lampu Isyarat Jalan Tok Kangar, Juru, dijangka dibuka kepada trafik mulai 10 Oktober ni.

Komponen ni termasuk binaan jambatan berhampiran Kilang Premium Sound Solutions Sdn. Bhd., yang dibuat sekali dengan kerja pelebaran jalan dari satu lorong ke dua lorong, dari Jalan Perusahaan hingga ke Persimpangan Jalan Delima 1/Lorong Delima Jati. Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari habaq projek ni dah capai kemajuan 93 peratus dan jalan ikut jadual yang ditetapkan.

"Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kapasiti dan tahap perkhidmatan jalan raya." kata Zairil Khir Johari.

Zairil cakap, komponen pertama projek Fasa 2 ni iaitu jambatan berhampiran Pusat Servis Perodua, Juru, dah pun dibuka kepada trafik pada 21 September lalu. Baki kerja di lapangan akan diteruskan sampai projek siap sepenuhnya, dan pembukaan laluan kepada trafik akan dibuat secara berperingkat supaya kemudahan yang dah siap boleh terus diguna oghang ramai.

Turut hadir sama dalam lawatan tapak projek tu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung, serta pegawai-pegawai dari Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan daerah Seberang Perai Tengah. Zairil habaq pembukaan laluan secara berperingkat ni dijangka bantu lancarkan aliran trafik dan kurangkan kesesakan, khususnya sepanjang jajaran jalan yang sedang dinaik taraf tu.