Dua oghang individu iaitu seorang pengarah urusan dan seorang pengarah syarikat yang dikaitkan dengan isu kelewatan pengagihan bekalan baja di Kedah dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar esok. Ini susulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat izin Pendakwa Raya untuk mengambil tindakan pendakwaan terhadap kedua-dua individu itu, dengan prosiding pertuduhan dijadualkan bermula jam 9 pagi pada 8 Oktober ini.

Pada 12 September lalu, seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja berkenaan, lelaki berusia 30-an, ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah. SPRM turut memanggil 13 saksi termasuk Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk merakam keterangan.

Siasatan awal SPRM mendapati sepanjang musim terbabit, syarikat itu sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja tetapi sehingga September lalu, hanya 333,655 beg yang sampai — kekurangan 282,360 beg. Kes aduan ini dibuka 26 Ogos lalu berkait dakwaan syarikat pembekal baja yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) gagal membekal, menghantar serta mengedar Baja 3 bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan MADA.

Kawasan terbabit meliputi keluasan 100,000 hektar untuk tanaman Musim 1 dan 2 tahun ini, bagi tempoh setahun yang melibatkan 60,000 pesawah.