Kementerian Kesihatan (KKM) dah lulus peruntukan khas hampir RM2.6 juta untuk naik taraf fasiliti serta beli aset perubatan dan bukan perubatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, turun padang ke HSAH sendiri untuk tengok cabaran operasi dan isu sesak pesakit di sana.

Dalam hantaran di Facebook hari ni, Dzulkefly habaq Jabatan Kecemasan jadi sesak sebab limpahan pesakit luar. Purata 50 hingga 70 pesakit terpaksa tunggu lama tiap-tiap hari sebelum boleh masuk wad. Sejak 17 Ogos, KKM jalan inisiatif After Hours Clinic, bagi Klinik Pakar dan Klinik Kesihatan serap kedatangan pesakit Zon Hijau di luar waktu pejabat.

"Sebagai langkah pemerkasaan kapasiti, saya telah mengumumkan kelulusan peruntukan khas hampir RM2.6 juta bagi tujuan penambahbaikan fasiliti serta perolehan aset perubatan dan bukan perubatan hospital ini." kata Dzulkefly Ahmad.

Jangka sederhana, Dzulkefly dah arah cadangan naik taraf tiga bangunan wad di Hospital Sungai Petani (HSP) yang lama disegerakan. Kerja tu bernilai lebih RM11 juta dan boleh tambah 120 katil baharu. Untuk jangka panjang pula, kerajaan dah lulus kerja awalan bernilai RM650,000 untuk blok tambahan di HSAH, yang bila siap nanti tambah 408 katil, tujuh dewan bedah moden dan tempat letak kereta bertingkat.