Dianggar seramai 40,000 anak muda hadir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, baru-baru ni untuk sertai program Ride Dakwah Anak Muda (RDAM). Program tu dianjurkan oleh pempengaruh Ahmad Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Beymad melalui media sosial dia.

RDAM gabung konvoi motosikal dengan pengisian dakwah. Sebab yang mai ramai sangat, lokasi asal di Akademi Darul Ilmi, Sungai Petani, kena pindah ke stadium supaya muat semua peserta. Antara yang bagi pengisian ialah pendakwah bebas Mohamad Wadi Annuar Ayub atau Ustaz Wadi Annuar, bersama beberapa pendakwah dan pempengaruh dakwah lain. Ada peserta yang mai dari Johor, Pahang, Terengganu dan Perak sekali.

Lepas program tu, Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden, dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hanif Jamaluddin, masing-masing bagi ucapan tahniah kepada penganjur. Afnan habaq, dia dimaklumkan peserta kali ni berdisiplin dan patuh peraturan.

“Tak tahu nak kata apa dah… syukur pada Allah. Allah tunaikan impian yang dah lama impikan,” kata Beymad.

Beymad yang juga pendakwah muda dan ahli perniagaan turut rakam penghargaan kepada penaja dan semua yang hadir. Dia habaq ni program pertama dia anjurkan, jadi dia mohon maaf kalau ada perkara yang terlepas pandang. Ustaz Wadi Annuar pula bagi tau dalam media sosial dia yang dia bersyukur dengan penganjuran tu.