BERTAM — Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, hari ni berkenan merasmikan Setia Fontaines Heritage Park, tarikan rekreasi dan pelancongan baru seluas 100 ekar di Kepala Batas. Tun Ramli berangkat bersama isteri, Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, untuk merasmikan taman rekreasi serba moden yang dibangunkan oleh SP Setia Berhad tu.
Taman ni ada tasik buatan manusia seluas 62 ekar, landskap hijau yang asli dan persembahan air pancut berirama. Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai, habaq taman tu berpotensi besar jadi mercu tanda rekreasi keluarga dan tumpuan pelancong di Seberang Perai.
"Ia memberi satu lagi alasan kukuh kepada pengunjung untuk datang dan meluangkan masa di Kepala Batas serta Seberang Perai Utara," kata Wong Hon Wai.
Wong, yang juga ADUN Paya Terubong, cakap pembukaan taman ni selari dengan Visi Penang2030 untuk naikkan daya huni dan kualiti hidup rakyat, sekali gus luaskan limpahan sektor pelancongan negeri. Dia harap destinasi baru ni dapat jana aktiviti ekonomi tempatan dan bagi manfaat berpanjangan kepada masyarakat setempat. Dia sekali mengucapkan tahniah kepada pemaju atas komitmen memajukan kawasan Seberang Perai Utara.
Turut berucap ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Dr. Jafri Abdul Jalil. Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato' Baderul Amin Abdul Hamid, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Zaini Yusoff, serta ADUN dan ketua jabatan negeri dan persekutuan.