Kegiatan licik satu sindiket dadah antarabangsa yang libatkan empat rakyat tempatan sebagai transporter atau 'keldai dadah' sejak Jun tahun lepas akhirnya tumpas lepas depa dicekup dalam serbuan berasingan, bulan lalu. Suspek lelaki terbabit ditahan sekali dengan seorang wanita warga Thailand menerusi operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Police Narcotics Suppression Bureau (PNSB) dan Royal Thai Police, bermula 8 Ogos lalu.

Tangkapan sindiket ni turut berjaya rampas 252.2 kilogram Methamphetamine bernilai RM4.31 juta. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng habaq, kegiatan ni terbongkar sejurus seorang lelaki tempatan ditahan menerusi sekatan jalan oleh polis daerah Hua Hin, Thailand, pada 8 Ogos lalu. Hasil pemeriksaan kereta jenis BMW tu jumpa bungkusan 166 kilogram dadah disyaki jenis Methamphetamine.

"Berdasarkan maklumat itu, JSJN telah menjalankan risikan dan tindakan susulan di Malaysia dan hasilnya telah melancarkan 'Op Zoraptera' bagi menumpaskan rangkaian sindiket pengedaran dadah rentas sempadan Malaysia-Thailand," kata Dennis Lim.

Operasi yang dijalankan kat Selangor dan Pulau Pinang tu bawa kepada tangkapan empat suspek, tiga lelaki tempatan dan seorang wanita Thailand, berusia 19 hingga 25 tahun. Dalam tiga siri serbuan, polis berjaya rampas 83 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 86.2kg, jadi jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 252.2kg.

Siasatan dapati sindiket ni ubah suai tempat duduk penumpang belakang kereta hinggalah ke ruang but untuk angkut dadah, sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan luar negara. Sindiket ni dipercayai dah aktif sejak Jun tahun lepas, dan tiap suspek dapat upah RM6,000 seorang. Kes ni disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ujian saringan air kencing pun dapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin, manakala kesemua suspek tak ada rekod jenayah lampau.