KANGAR: Rakyat diseru supaya menjadikan Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan sebagai pedoman, khususnya dalam kehidupan bermasyarakat. Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah baginda amat menghargai kesetiaan, rasa hormat dan kasih sayang rakyat jelata yang jadi kekuatan dalam memelihara keharmonian negeri ni.

"Semoga negara dan negeri kita terus dikurniakan keamanan, kemakmuran, kestabilan dan kedaulatan yang berkekalan. Semoga rakyat Perlis dikurniakan kesihatan baik, rezeki yang berkat, kehidupan yang sejahtera serta perpaduan yang utuh," kata Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Titah baginda, perpaduan ialah kekuatan sesebuah bangsa, dan daripada situlah lahir keamanan serta kestabilan yang bawa kepada kemajuan dan kesejahteraan. Berangkat sama pada majlis tu Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda turut bertitah, kemerdekaan yang dinikmati hari ni lahir daripada perjuangan panjang, pengorbanan besar dan kesepakatan rakyat pelbagai kaum. Sebab tu, kemerdekaan kena diisi dengan ilmu, integriti, perpaduan dan rasa tanggungjawab terhadap tanah air.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyeru anak-anak negeri ni, khususnya generasi muda, supaya terus menuntut ilmu, kuasai kemahiran baharu, bina jati diri serta jaga nilai agama dan budaya yang jadi warisan. Baginda bertitah, ilmu tanpa akhlak tak akan lahirkan insan yang sempurna, manakala kemajuan tanpa integriti pun tak jamin kesejahteraan berkekalan.