Pemilik rumah dan ejen hartanah disaran buat semakan latar belakang bakal penyewa supaya premis depa tak kena jadikan pusat operasi sindiket penipuan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, habaq langkah tu penting sebab sindiket berkenaan sekarang semakin licik, sewa kediaman mewah untuk jadi lokasi buat kerja jenayah depa.

"Kami meminta semua pemilik rumah yang ingin menyewakan premis mereka supaya membuat semakan latar belakang terhadap bakal penyewa. Jika urusan dilakukan melalui ejen, semak juga latar belakang ejen tersebut. Jangan menerima sebarang penyewa tanpa membuat pemeriksaan sewajarnya kerana langkah ini dapat membantu menghalang premis disalahgunakan bagi tujuan jenayah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), semalam.

Beliau cakap begitu bila mengulas pasai kejayaan polis tumpaskan lima pusat penipuan dalam talian yang dipercayai mula beroperasi di Pulau Pinang sejak sebulan dua bulan lepas. Pasai sindiket penipuan antarabangsa yang sasarkan perumahan mewah di negeri ni, beliau bagi tau polis tak tolak kemungkinan berkenaan perkara tu.

"Jika kita membuat andaian, penjenayah juga akan memilih kawasan mewah dan ada pengawal keselamatan. Itu satu kemungkinan kerana mereka mungkin beranggapan kawasan seperti itu sesuai untuk menyembunyikan kegiatan mereka. Polis bagaimanapun akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara terlibat mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa serta menjalankan siasatan di bawah Akta Imigresen terhadap semua suspek yang ditahan," katanya.

Baru-baru ni, Polis Pulau Pinang berjaya bongkar kegiatan eksploitasi manusia dan sindiket penipuan pekerjaan (job scam) sekali dengan pelaburan tak wujud melalui beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut, yang bawa kepada tangkapan 109 orang termasuk seorang lelaki warga Taiwan yang jadi majikan dan pengendali kegiatan eksploitasi manusia tu.