Lima nelayan warga asing termasuk seorang tekong kena tahan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Pulau Pinang semalam. Depa terdiri daripada dua warga Thailand dan tiga warga Myanmar, dan penahanan tu dibuat lebih kurang pukul 9.55 pagi.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli bagi tau, vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C tu dikesan oleh KM Semilang masa rondaan di perairan negeri ni. Pemeriksaan dibuat kira-kira pukul 10.40 pagi di kedudukan 17 batu nautika, Barat Daya Pulau Kendi.
Hasil pemeriksaan, vesel yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak tu dak dapat tunjuk lesen dan dokumen berkaitan vesel serta peralatan menangkap ikan. Empat awak-awak warga asing pula dak ada Pas Lawatan Kerja Sementara.
Tekong dan semua awak-awak berumur antara 25 hingga 52 tahun tu dibawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel, Ibu Pejabat Maritim negeri untuk tindakan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel tu dianggarkan RM3 juta.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan undang-undang perikanan dan imigresen demi menjamin kelestarian hasil laut serta kedaulatan perairan negara," kata Muhammad Suffi.