PETALING JAYA – Kedah, Perlis dan Kelantan berkemungkinan tinggi berdepan kemarau yang agak teruk bila fenomena Super El Nino dijangka capai tahap kemuncak menjelang hujung tahun ni. Pensyarah Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Dr. Aweng Eh Rak, habaq kedudukan geografi tiga negeri ni memang terdedah kena kesan kekurangan hujan.
Menurut beliau, jangkaan tu termasuk potensi penurunan purata taburan hujan mingguan yang boleh melebihi 20 peratus berbanding kadar biasa. Malah ada minggu yang berisiko takdak hujan langsung.
"Berdasarkan ramalan, impak gelombang haba ini mungkin boleh mencapai kemerosotan taburan hujan lebih daripada 20 peratus," kata Aweng.
Sebelum ni, ramalan pasai Super El Nino yang bakal melanda hujung tahun ni disebut berpotensi bawa cuaca panas dan kering melampau kat seluruh negara. Situasi ni dikhuatiri ulang balik episod kemarau ekstrem yang pernah jadi masa fenomena sama pada 1997 dan 2016.
Aweng cakap, selain Kedah, Perlis dan Kelantan, kawasan bandar besar pun senang kena kesan fenomena haba ni sebab struktur bangunan serap haba siang hari dan lepaskan balik waktu malam, lagi-lagi bila takdak pokok hijau nak bagi teduhan. Tapi beliau ingatkan, data lebih terperinci pasai taburan hujan dan suhu harian kena rujuk terus kat Jabatan Meteorologi.