Polis Pulau Pinang dah sahkan pergaduhan sekumpulan lelaki depan sebuah sekolah kat Ayer Itam, George Town, 30 Ogos lalu tu membabitkan ahli Geng 04. Ketua Polis Negeri, Datuk Dennis Lim Kwang Keng habaq, hasil siasatan depa buat, kejadian ni dipercayai berpunca daripada salah faham pasai hutang antara suspek yang terlibat.
Dia habaq, kejadian ni bukan melibatkan kegiatan pinjaman wang tak berlesen, tapi suspek-suspek tu dipercayai cuba tolong pihak tertentu ambik balik hutang berkenaan.
"Ini disebabkan salah faham berkaitan hutang. Bukan hutang along, sebaliknya mereka membantu untuk mengutip semula hutang. Mereka kemudian berbincang, namun berlaku pergaduhan," kata Dennis Lim.
Sebelum ni, polis dah reman 13 lelaki tempatan termasuk tiga individu bawah umur untuk bantu siasatan kes gaduh guna senjata depan sekolah kat Ayer Itam tu. Kesemua suspek yang berusia antara 16 hingga 33 tahun ni ditahan menerusi lima serbuan sekitar Pulau Pinang, bermula pukul 8.19 malam hinggalah 4.22 pagi.
Pasai kejadian yang membabitkan dua mangsa kena tetak tu, Dennis Lim habaq, kedua-dua mangsa bukan ahli mana-mana kumpulan yang gaduh, depa jadi mangsa sebab salah identiti ja. Kes ni disiasat ikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan sebab menyebabkan kecederaan parah guna senjata, dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan sebab merusuh bersenjata.