Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza, berjaya menang saman fitnah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur perintah seorang pengguna Facebook bayar ganti rugi RM250,000 kepada beliau.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rihaida Rafie, membuat keputusan tu selepas benarkan sebahagian tuntutan saman fitnah yang difailkan Mohd. Asri terhadap defendan, Mohd. Nawawi Abdul Razak, 39. Hantaran fitnah tu didakwa kaitkan Mohd. Asri dengan GISBH Holdings Sdn. Bhd.

Bagaimanapun, mahkamah tolak tuntutan pasai pernyataan fitnah kedua hingga keempat sebab tak berjaya dibuktikan dan tak penuhi elemen tort fitnah. Mahkamah pun benarkan permohonan Mohd. Asri supaya defendan mohon maaf melalui akaun Facebook yang sama selama tujuh hari bermula tarikh penghakiman, sekali gus arah defendan padam hantaran berkenaan dan halang daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah tu.

Prosiding hari ni dihadiri peguam Faizal Rahman dan Fatima Zulaikha Ahmad Bashri bagi pihak Mohd. Asri, manakala Mohd. Nawawi diwakili peguam Mohd Tajuddin Abd Razak. Saman ni difailkan Mohd. Asri pada 10 Oktober 2024 dengan tuntutan asal RM10 juta, berikutan kenyataan fitnah dalam bentuk komen bergambar pada 20 September tahun sama yang didakwa rosakkan imej beliau sebagai Mufti Perlis.