Barang yang orang dah anggap buruk dan nak buang rupa-rupanya boleh jadi jentera berguna. Itu la yang berlaku bila warga kerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) ubah suai sebuah basikal terpakai jadi basikal kolam untuk kutip sampah terapung kat Upcycle Park dekat Bandar Perda. Basikal ni bukan calang-calang, sebab lebih kurang 80 peratus bahannya guna barang kitar semula.
Ketua Unit Upcycle MBSP, Azizul Abdul Rahim, habaq idea basikal ni datang sebab depa susah nak sampai bahagian tengah kolam rekreasi tu yang jaraknya lebih kurang 400 hingga 500 meter. "Kalau menggunakan kaedah manual, agak sukar untuk kita sampai ke bahagian tengah kolam. Jadi, kita fikir bagaimana untuk menghasilkan sesuatu yang boleh bergerak di atas air, mudah dikendalikan dan pada masa sama menggunakan bahan yang ada," katanya.
Antara bahan utama yang depa guna ialah pelampung plastik yang diambik dari tapak pelupusan Ampang Jajar, lepas tu dibaik pulih dulu sebelum guna balik. Basikal tu diubah suai supaya boleh dikayuh maju dengan mundur, manakala tong drum pulak jadi tempat letak sampah lepas ditebuk sikit supaya air boleh keluar. Barang MBSP yang dah rosak pun tak dibuang, tapi dijadikan struktur tambahan.
Menariknya, basikal ni siap dalam dua minggu ja dengan tiga orang pekerja, dan kos buatnya rendah sebab kebanyakan bahan tu barang terpakai — kos utama cuma cat untuk baik pulih. Sekali pusingan, basikal ni boleh kutip lebih kurang 10 hingga 20 kilogram sampah, bergantung kat keadaan air dan banyak mana sampah terapung masa tu. Petugas pun wajib pakai vest keselamatan bila kendalikan basikal tu.
Azizul cakap Upcycle Park ni yang pertama kat Malaysia dan dah masuk Malaysia Book of Records, jadi depa nak konsep upcycle ni bukan sekadar cakap-cakap tapi betui-betui dipakai dalam kerja harian. Inisiatif ni bukan ja kurangkan pembaziran, malah bantu pasukan 'Wira Oren' buat kerja pembersihan dengan lebih senang. Buat masa ni basikal tu dipakai kat kolam Upcycle Park ja, tapi MBSP tengah fikir nak buat lebih banyak unit lagi.