ALOR SETAR – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Kerajaan Negeri Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar berkaitan pengeluaran lesen premis perjudian di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Dato' Rhodzariah Bujang, bersama Dato' Collin Lawrence Sequerah dan Dato' Azmi Ariffin, sebulat suara menolak permohonan itu dan memerintahkan Kerajaan Negeri Kedah membayar kos RM50,000. Mahkamah mengekalkan keputusan sebelum ini bahawa arahan Kerajaan Negeri Kedah adalah ultra vires, iaitu di luar kuasa dan tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini membuat ketetapan tidak lagi memperbaharui atau mengeluarkan lesen premis judi di seluruh negeri bermula 1 Januari 2023, berdasarkan keputusan mesyuarat EXCO pada 8 Disember 2021. Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini habaq walaupun kerajaan negeri bakal kehilangan hasil cukai premis judi RM400,000 setahun, keputusan tu tetap dilaksanakan sebab aktiviti tu boleh bawa masalah sosial dalam masyarakat.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato' Ustaz Ahmad Yahaya, berkata pihaknya kesal dengan keputusan mahkamah itu walaupun akur dengan ketetapan yang dibuat. Beliau berkata keputusan tersebut mendukacitakan rakyat Kedah, terutama yang beragama Islam, dan menegaskan Kerajaan Negeri akan terus meneruskan tindakan susulan berhubung isu ini.