Mahkamah Persekutuan hari ni tolak permohonan kerajaan Kedah nak dapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang kekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar pasai pengeluaran lesen perjudian. Mahkamah Persekutuan kekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang putuskan arahan kerajaan Kedah tu ultra vires (di luar kuasa) serta tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang sebulat suara tolak permohonan kebenaran merayu tu dan perintahkan kerajaan negeri bayar kos RM50,000. Turut bersidang dalam panel yang sama, hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin.
Berkuatkuasa 1 Januari 2023, Kerajaan Negeri Kedah umumkan untuk dak teruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berdasarkan keputusan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya, habaq walaupun akur dengan ketetapan yang dibuat pihak mahkamah, keputusan tu turut mendukacitakan seluruh rakyat Kedah.
"Sangat ironi apabila langkah kerajaan negeri mengamalkan prinsip mencegah kerosakan dalam masyarakat dibantah oleh pihak tertentu sehingga mereka sanggup membawa kes ini ke mahkamah sejak awal." kata Datuk Ahmad Yahaya.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena habaq, Pas Kedah akan terus pertahankan prinsip amar makruf nahi mungkar dalam aspek pentadbiran dan pemerintahan negeri, dan bagi sokongan tidak berbelah bahagi kat kerajaan negeri atas apa jua tindakan susulan yang wajar diambil selepas pendirian yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan tu.