Kalau tuan-tuan yang baru berjinak-jinak dalam dunia perniagaan tengah cari acara nak pi, Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) 2026 boleh jadi pilihan. Ni kali pertama karnival ni buka tirai kat Pulau Pinang, akan buat pada 26 dan 27 Hb September ni kat Stadium Batu Kawan.

Acara dua hari ni bukan sekadar himpunkan peniaga bawah satu bumbung ja, tapi bagi ruang untuk pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS), usahawan, persatuan industri dan pemain perniagaan pelbagai sektor jumpa, tukar pengalaman dan buka peluang kerjasama yang kadang-kadang mula dari satu perbualan ringkas ja.

KHPM 2026 dianjur oleh Monie, jenama bawah Foodie Media Berhad, sekali dengan Spire Digital dan kerjasama Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). Program ni gabungkan perkongsian ilmu, perbincangan industri, sesi pitching, networking, bengkel dan hiburan dalam satu acara yang bukan sasar komuniti perniagaan ja tapi orang ramai sekali.

Pengunjung boleh ikut perbincangan panel 45 minit bersama wakil persatuan dan pakar industri, lagi satu sesi perkongsian individu 30 minit dari usahawan pelbagai sektor. Topik yang dibincang pun dekat dengan kehidupan harian macam makanan dan minuman (F&B), perniagaan digital, kecantikan dan teknologi. Depa sekali bawa agensi macam INSKEN, TEKUN Nasional, SME Bank, SME Corp. Malaysia dan lain-lain untuk bagi pandangan pasai perjalanan sesebuah perniagaan.

Menjelang petang, suasana jadi lebih santai dengan sesi fireside bersama pengasas syarikat sebelum ditutup dengan konsert. Sepanjang karnival pun ada cabutan bertuah, majlis perasmian dan sesi lawatan. Semua sesi disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, jadi senang untuk peserta pelbagai latar belakang ikut sama.