Eppendorf SE, syarikat sains hayat global berpangkalan di Jerman, dah setuju melabur dana 40 juta euro atau lebih RM180 juta untuk bina kilang pembuatan baharu di Taman Teknologi Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang.

Perkara ni diumumkan sempena majlis menandatangani perjanjian pajakan antara Eppendorf dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), yang disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

"Malaysia telah menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan Eppendorf di rantau Asia Pasifik selama lebih tiga dekad dan pembinaan kilang di Pulau Pinang ini secara tidak langsung membuktikan komitmen jangka panjang syarikat terhadap negara ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Eppendorf, Dr. Christine Munz.

Chow Kon Yeow pulak cakap pelaburan Eppendorf ni buktikan keyakinan berterusan syarikat bertaraf global terhadap ekosistem perindustrian Pulau Pinang yang terus berkembang, sekali gus mengukuhkan keupayaan negeri dalam sektor peralatan saintifik dan pengukuran — sektor strategik yang menyokong pembangunan industri pembuatan maju, penjagaan kesihatan dan sains hayat.

Hadir sama pada majlis tu ialah Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Abdul Latiff Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif InvestPenang, Datuk Seri Loo Lee Lian; serta wakil daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).